Memperkukuh hubungan antarabangsa melalui peluang perniagaan




Oleh : Srinarawie Bidzah / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 4 Ogos. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof menjelaskan dalam menyelaras dasar dan program pembangunan sosial negara untuk memacu pencapaian matlamat kedua, Wawasan Brunei 2035 iaitu kualiti kehidupan rakyat yang tinggi, Social Blueprint yang diterajui oleh JPM dan Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS) di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah dilancarkan tahun ini dengan menumpukan kepada empat aspirasi utama.


Aspirasi pertama kata Yang Berhormat, rakyat yang mandiri, berdaya tahan dan siap siaga masa depan yang bermaksud masyarakat yang mampu berdikari dalam menghadapi pelbagai cabaran masa hadapan dengan membentuk sikap tekun berusaha sendiri, iaitu mandiri bagi meningkatkan keupayaan mobiliti sosial serta menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan negara.


Aspirasi kedua tambah Yang Berhormat, memperkasa keluarga yang penyayang, kukuh dan berdaya yang menekankan kepentingan institusi keluarga sebagai unit yang paling asas dalam berperanan menyediakan landasan untuk pembangunan modal insan bagi menggerak pembangunan sesebuah negara, dan aspirasi ketiga, membangun masyarakat yang pemedulian, inklusif dan saksama yang bermaksud memenuhi keperluan masyarakat secara inklusif untuk memastikan keadilan dan kesaksamaan ke arah kesejahteraan dan keselamatan yang terjamin dengan menjadikan masyarakat sebagai asas kepada pembangunan sosial yang mampan.


"Aspirasi keempat, memperkasa pembangunan sosial melalui pendekatan senegara, iaitu Whole of Nation Approach yang menumpukan kepada usaha-usaha meningkatkan kerjasama dan penglibatan pihak yang berkepentingan melalui pendekatan senegara bagi memastikan tadbir urus yang berkesan ke arah kecemerlangan penyampaian perkhidmatan," ujar Yang Berhormat semasa membentangkan Usul Wawasan Brunei 2035 pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.


Bagi merealisasikan matlamat ketiga Wawasan Brunei 2035 kata Yang Berhormat, ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan, Economic Blueprint telah dilancarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi pada tahun 2021 bagi merangka strategi pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang mampan dan berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global dengan menetapkan enam aspirasi utama, iaitu aspirasi pertama, perniagaan yang produktif dan pesat yang memfokuskan kepada perniagaan untuk bersaing, berkembang dan berdaya tahan dengan menerokai pasaran dan peluang baharu serta memanfaatkan teknologi dan inovasi oleh kesemua sektor perekonomian terutama lima sektor keutamaan, hiliran minyak dan gas, makanan, pelancongan, perkhidmatan dan ICT.


Manakala aspirasi kedua tambah Yang Berhormat, rakyat yang berkemahiran, adaptif dan inovatif yang memfokuskan kepada melahirkan tenaga kerja masa hadapan yang diperlukan bagi memenuhi keperluan industri dan mempromosikan perkembangan keusahawanan; dan aspirasi ketiga, ekonomi yang terbuka dan terhubung secara global, iaitu dengan memperkembangkan akses pasaran dan perkongsian ekonomi ('economic partnership') yang pelbagai dalam memperkukuhkan hubungan antarabangsa melalui peluang perniagaan.


Sementara aspirasi keempat jelas Yang Berhormat, kelestarian alam sekitar yang bertujuan untuk membantu dalam penjagaan ekosistem hijau negara selaras dengan komitmen negara sebagai nadi utama Borneo, iaitu Heart of Borneo dan juga komitmen menyeluruh antarabangsa melalui penurunan jejak karbon dan pelepasan gas rumah hijau, dan aspirasi kelima, infrastruktur ekonomi berkualiti tinggi dan berdaya saing yang memfokuskan kepada ketersediaan infrastruktur ekonomi yang mempunyai kapasiti untuk menyokong dan mengembangkan perniagaan negara.


"Aspirasi keenam, tadbir urus yang baik dan kecemerlangan perkhidmatan awam yang memfokuskan kepada memastikan persekitaran perniagaan yang kondusif melalui tadbir urus dan Perkhidmatan Awam yang telus, cekap dan mengikut peraturan yang jelas.


"Ketiga-tiga 'blueprint' ini mencerminkan iltizam kerajaan dalam menyusun semula strategi pembangunan negara secara lebih responsif, inklusif dan berimpak tinggi demi memastikan Wawasan Brunei 2035 dapat dicapai dalam suasana global yang semakin mencabar", jelas Yang Berhormat Menteri JPM dan Menteri Pertahanan II.

Close